Sunday, June 5, 2011

KesibukaN yANg Tidak AkAN BerAkhiR


Seseorang pekerja akan mengulang rutin harian yang sama setiap hari. memulakan hari mereka dengan bekerja seawal 7 pagi dan menghabiskan kerja mereka sehingga lewat 7 petang. Kemudian, pulang ke rumah untuk menonton rancangan televisyen kegemaran, melayari internet, bersama pasangan, mengupdate status laman sosial atau lepak bersama kawan-kawan.  Mereka mencari-cari apakah perkara yang perlu disibukkan apabila ada masa terluang di malam hari, di hujung minggu atau cuti umum.

Itulah kesibukan rutin harian seorang pekerja dan mungkin bagi seorang pelajar. Hidangan hiburan yang dicari bukan lagi menghadiri majlis ilmu agama/halaqah/ usrah , membaca alquran, mencari mad'u untuk dibina, berdakwah, membaca buku-buku perubahan diri atau kesibukan amalan akhirat, namun, kita telah disibukkan dengan hiburan orang-orang barat yang semestinya menjadi hidangan yang paling lazat kala ini.

Inilah yang dikatakan, 

" Apabila kita tidak disibukkan dengan kebaikan, maka kita akan disibukkan dengan keburukan"

Kesibukan MEREKA


Jika dahulu, Rasulullah saw dan sahabat-sahabat disibukkan dengan ibadah, halaqah-halaqah ilmu, dakwah, perang, infaq dan membangunkan ekonomi untuk dijadikan harta dakwah. 


Rasulullah saw sibuk dengan tugasnya menjadi ketua negara, ketua perang, ketua keluarga, berdakwah dan ibadah kepada Allah.


Musa'b sibuk dengan tugasnya berdakwah di Madinah.


Abu Bakar sibuk menjadi sahabat Rasulullah saw yang paling setia.


Abu Hurairah sibuk mengumpul hadith daripada Rasulullah saw dan otaknya adalah gudang pengetahuan.


Khalid al Walid sibuk menjadi panglima perang yang berwibawa.


Siti Khadijah sibuk menguruskan perihal Rasulullah dan menjadi pendokong setia baginda.


'Ibn. Sina dan Al-Razi sibuk dengan hafalan alquran, kajian-kajian tentang perubatan dan penghasilan karya-karya yang masih segar dan menjadi rujukan hingga kini.


mereka sibuk dengan perkara-perkara yang melibatkan kebahagiaan dunia dan akhirat . tapi kita?


Dunia yang menyibukkan

dunia hanyalah tempat bercucuk tanam

Seorang pelajar sering disibukkan dengan assignment, kerja kursus dan nota-nota yang bertimbun.
Seorang ibu sering disibukkan dengan masalah anak-anak, kerja rumah dan suami.
Seorang doktor sering disibukkan dengan melayan karenah pesakit, oncall dan seminar.
Seorang cikgu atau pensyarah sering disibukkan dengan mengajar, melayan karenah anak murid dan kelas tambahan.


Alasan-alasan inilah rupanya menjadikan status mereka sibuk. Padahal, hakikatnya mereka punya masa lapang yang banyak.


Ayuh semak. 


Sesibuk mana pun seseorang mereka masih lagi mampu untuk mengupdate laman Facebook dan duduk berjam-jam di hadapan laptop. Lihatlah statistik yang dilakukan, seramai 10.2 juta dari 28.9 juta rakyat Malaysia mempunyai Facebook dan telah pun disibukkan dengan 'kitab' buatan Mark Zuckerberg ini setiap masa.


Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih boleh mengupdate blog dan melompat daripada blog lain ke blog lain setiap hari.


Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu mendownload movie/anime dan menontonnya berjam-jam di hadapan laptop.


Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu menghabiskan setiap episod drama di televisyen.


Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu menghabiskan beberapa keping cdbollywoodhollywood dan korea.


Sesibuk mana pun seseorang, mereka masih mampu membalas  setiap mesej daripada pasangan mereka dan masih ada masa untuk membuat temu janji setiap minggu atau setiap hari.


Akhirat yang diabaikan


Apabila manusia sibuk dengan dunia, akhirat hanya dipandang sebelah mata.


Solat lewat waktu dirasakan biasa.
Alquran hanya dibaca kadang-kadang sahaja .
Qiamullail hanya dilakukan bila ada hajat di dada.
Halaqah atau usrah hanya diguna pakai bila terasa kosong di jiwa dan bila sudah bosan dengan dunia.
Dakwah dikatakan tidak wajib bagi dirinya. jika orang lain sudah buat, maka dia telah terlepas daripada dosa.


Fahaman sonsang inikah yang telah meresap di dalam hati kita?


Apabila diajak kepada amalan yang mendekatkan kepada Allah dan jaminan kebahagiaan kita di akhirat, kita sentiasa mengelak dan menjadikan sibuk sebagai alasan utama.
Namun, masa lapang yang ada digunakan untuk perkara sia-sia seperti Facebook, blog, movie dan games, kita boleh pula mengatakan ia adalah untuk menghilangkan ketegangan setelah penat bekerja atau belajar. Perkara-perkara ini bukanlah semakin menghilangkan ketegangan malah ia hanyalah satu keseronokan yang mampu menjauhkan diri daripada Allah. Padahal untuk menghilangkan ketegangan itu adalah melakukan perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah itu sendiri.


Adakah berani untuk kita mengemukakan alasan ini dihadapan Allah kelak? Malulah kalian dengan masa yang ada dibazirkan dengan aktiviti yang tidak bermanfaat.

adakah kesibukan akan terhenti setelah kita mati?

Penutup: bila ia akan berakhir?


Adakah kesibukan ini akan berakhir setelah kita habis belajar?
Atau setelah kita jadi bos dalam sebuah syarikat?
Atau setelah bersara?
Kita tidak akan dapat rehat walau apapun kondisi kita.


" Sesungguhnya rehat bagi seorang mukmin itu setelah kakinya menginjak ke syurga"


Kerehatan bagi kita bukanlah kematian. Kalau ia adalah kematian, bagaimana di alam barzakh? Kita mungkin sibuk dengan pukulan-pukulan keras daripada malaikat kerana dosa dan noda. Semoga dijauhkan ya Allah.


Semoga kesibukan kita pada hari ini adalah menyumbang pada agama, bukan menjadi penumbang agama. ayuh, fikir-fikirkanlah.


p/s: sibuk dengan dunia adalah  racun kepada kebahagiaan akhirat.

Friday, June 3, 2011

MENGAPA BERAT MENUNAIKAN SEMBAHYANG

Rata-rata umat Islam mengetahui bahawa sembahyang atau solat lima waktu
itu hukumnya wajib. Yakni, kalau dibuat, dapat pahala dan kalau
ditinggalkan berdosa. Berdosa itu pula akan dihukum dengan seksa Neraka.

Semua umat Islam rasanya sudah maklum apakah dia seksa Neraka itu. Api
yang membakar sampai ke hati. Minumannya ialah leburan logam yang
menggelegak yang tidak terhingga panasnya. Makanannya ialah buah yang
berduri. Seksa Neraka tersangatlah pedih. Ia adalah sehina-hina tempat
untuk kembali.

Rata-rata juga umat Islam tahu bahawa sembahyang itu tiang agama. Siapa
yang mendirikan sembahyang, dia sebenarnya telah mendirikan agama. Siapa
yang meruntuhkan sembahyang, dia telah meruntuhkan agama. Mereka juga
tahu, yang membezakan di antara orang kafir dan orang Islam itu ialah
sembahyang.

Barang siapa yang meninggalkan sembahyang dengan sengaja, nyata dia
telah kufur. Sembahyang adalah amalan pertama yang dihisab di akhirat.
Kalau sembahyang tidak selesai, segala amalan yang lain tertolak.

Namun masih ramai umat Islam yang tidak menunaikan sembahyang lima
waktu. Masih ramai yang cuai menunaikan sembahyang. Yang cuai menunaikan
sembahyang itu bukan sahaja orang muda tetapi juga orang tua. Bukan
sahaja orang miskin tetapi juga orang kaya. Bukan sahaja di kalangan
orang-orang bawahan tetapi juga orang-orang atasan. Bukan hanya dari
kalangan orang-orang tidak berpelajaran tetapi juga yang berpelajaran
tinggi. Bukan sahaja dari kaum pekerja atau buruh tetapi juga dari para
eksekutif dan pengurusan. Bukan sahaja di
kalangan rakyat tetapi juga pemimpin. Bukan sahaja lelaki, tetapi ramai
juga perempuan yang cuai bersembahyang.

Menjadi kafir kerana tidak bersembahyang tidak dirasakan sebagai suatu
ancaman. Meruntuhkan agama kerana cuai sembahyang juga tidak dirasakan
besar. Malahan, ancaman seksa Neraka yang begitu perit, hebat dan
dahsyat pun umat Islam tidak rasa gerun dan takut. Apakah puncanya umat
Islam jadi begini?

Kalau ditanya pendapat orang, maka akan timbullah berbagai-bagai sebab
dan alasan. Lemah imanlah. Kurang ilmu agamalah. Tidak ada asas
agamalah. Kurang didikan agamalah. Kerana pengaruh liar seperti rock,
black metal, dadah dan sebagainya. Kerana ibu ayah sibuk mengejar dunia
dan tidak mengambil berat serta tidak ada masa untuk anak-anak. Kerana
tidak ada kasih-sayang dari ibu bapa dan keluarga. Kerana sibuk dengan
urusan, kerja, tugas, perniagaan dan bermacam-macam lagi alasan.

Mungkin alasan-alasan ini boleh diterima tetapi ia lebih merupakan
alasan-alasan sampingan. Ada sebab dan alasan yang lebih pokok dari itu
iaitu rata-rata umat Islam sudah tidak kenal Tuhan. Umat Islam berat
menunaikan sembahyang kerana mereka tidak kenal Tuhan. Apabila Tuhan
tidak dikenali, maka umat Islam tidak cinta dan tidak takut dengan
Tuhan. Apabila cinta dan takut tidak ada, maka tidak wujud hubungan hati
dengan Tuhan.

Hati yang tidak terhubung dengan Tuhan tidak ada apa-apa rasa. Tidak ada
keinsafan. Tidak ada kesedaran. Tidak ada rasa bahawa Tuhan itu
diperlukan. Bahawa Tuhan itu Maha Hebat dan Maha Agung. Tidak ada rasa
bahawa kita manusia begitu kerdil dan lemah di sisi Tuhan. Walhal hati
itu adalah wakil Tuhan pada diri kita, tempat kita berzikir dan
berhubung rasa dengan Tuhan. Dalam erti kata yang lain, kalau hati tidak
terhubung dengan Tuhan, kita tidak akan khusyuk dengan Tuhan.

Itulah sebabnya konsep pendidikan Islam bermula dari apa yang disabdakan
oleh Rasulullah SAW:
Maksudnya: Awal-awal agama mengenal Allah.

Setelah Allah dikenali, dicintai dan ditakuti, maka kita akan suka
mengamalkan syariat. Kita akan suka bersembahyang. Kita akan suka
membuat perkara yang Tuhan suka. Kita akan suka menggembirakan Tuhan.
Kita akan khusyuk dengan Tuhan. Akan timbullah keinginan untuk menyembah
dan membesarkan- Nya dan untuk mengabdikan diri kepada-Nya. Barulah
datang keinginan untuk bersembahyang kerana sembahyang itu ialah
upacara untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Kalau Tuhan tidak
dirasakan besar dan agung maka kita tidak akan terdorong untuk
bersembahyang. Sembahyang tidak akan ada apa-apa makna.

Yang menjadi masalah, umat Islam sudah tidak dididik mengikut konsep
pendidikan Islam ini lagi. Mereka tidak dikenalkan kepada Tuhan terlebih
dahulu. Mereka dikenalkan kepada dunia dan apabila sudah tua atau
dewasa, barulah hendak berusaha untuk mengenal Tuhan. Itu pun hanya bagi
orang yang sedar dan yang mendapat hidayah.

Kalau setiap anak dididik dari kecil untuk mengenal Tuhan, maka semua
akan jadi mudah. Dari kecil lagi anak-anak sudah kenal, cinta dan takut
dengan Tuhan. Dari kecil lagi mereka sudah merasa khusyuk dengan Tuhan.
Orang yang khusyuk dengan Tuhan akan mudah bersembahyang. Tuhan ada
berfirman:

Maksudnya: Jadikanlah sabar dan solat itu sebagai
penolongmu. Sesungguhnya solat itu berat kecuali bagi
orang-orang yang khusyuk.
(Al-Baqarah: Ayat 45)

Kalau sudah tua dan dewasa baru hendak mengenal Tuhan, ia seperti anak
angkat yang sudah tua mahu diperkenalkan oleh ibu angkatnya kepada ibu
kandungnya sendiri. Memang dia akan menerima hakikat bahawa ibu
kandungnya itu memang benar ibu kandungnya. Lebih-lebih lagi kalau
disahkan dan diakui pula oleh ibu angkatnya. Tetapi untuk hidup dengan
ibu kandungnya atau untuk berpindah dari rumah ibu angkat untuk tinggal
bersama-sama ibu kandungnya, itu amat rumit sekali. Dia tidak akan mahu.
Cintanya telah tertumpah kepada ibu angkatnya kerana ibu angkatnyalah
yang telah banyak mencurahkan kasih sayang padanya. Begitu jugalah orang
yang telah meninggalkan Tuhannya untuk bermewah di dunia. Dunia seperti
ibu angkatnya. Memang sukar untuk kembali kepada Tuhan yang menciptanya.

Tidak hairanlah mengapa umat Islam tidak terdorong untuk bersembahyang.
Umat Islam tidak teringin untuk membesar dan mengagungkan Tuhan. Untuk
memuliakan, meninggikan dan mengabdikan diri kepada Tuhan. Mereka
mungkin tahu dan percaya adanya Tuhan tetapi mereka tidak merasakan
bahawa Tuhan itu benar-benar wujud. Mereka juga tidak merasakan yang
diri mereka itu hamba kepada Tuhan. Inilah bahananya kalau Tuhan tidak
dikenali.

Setakat tahu dan percaya sahaja tidak cukup untuk menjadi aqidah dan
pegangan. Ia tidak cukup untuk mendorong seseorang itu bertindak dan
beramal. Ia tidak boleh menimbulkan sesuatu komitmen atau azam yang
kuat.

Tahu dan percaya Tuhan itu adalah dengan akal. Tetapi mengenal Tuhan itu
adalah dengan hati. Orang yang tahu dan ada ilmu tentang Tuhan dikatakan
orang yang Aalimbillah. Orang yang kenal Tuhan itu dikatakan orang yang
Aarifbillah. Orang yang kenal Tuhan atau orang Aarifbillah itu, mereka
kenal Tuhan dengan hati. Mereka ada rasa-rasa bertuhan dalam hati
mereka. Mereka juga ada rasa-rasa kehambaan. Mereka itu orang-orang yang
khusyuk. Orang yang setakat Aalimbillah tidak ada rasa apa-apa.

Mari kita lihat bagaimana Rasulullah SAW mendidik para sahabat. Selama
13 tahun di Makkah, Rasulullah tidak mengajar para sahabat selain dari
mengenal Tuhan. Tidak ada hukum-hakam lain yang diajar. Sembahyang pun
belum diwajibkan.

Rasulullah mengajar para sahabat tentang Tuhan sehingga mereka
benar-benar kenal, cinta, takut dan sangat-sangat rindu dengan Tuhan.
Mereka seperti orang lapar yang tidak dapat makan. Mereka seperti orang
dahaga yang tidak dapat minum. Rindu mereka meluap-luap terhadap Tuhan.
Mereka mabuk cinta dan mabuk rindu dengan Tuhan.

Hanya pada tahun yang kesebelas baru berlaku peristiwa Israk Mikraj.
Ketika itu baru diturunkan perintah sembahyang. Apabila para sahabat
mendapat perintah sembahyang, ia ibarat pucuk dicita ulam mendatang. Ia
ibarat orang dahaga diberikan air. Ibarat orang lapar diberikan roti.
Dalam sembahyanglah para sahabat melepaskan rindu-dendam mereka pada
Tuhan. Mereka berdailog, mengadu, memuja dan memuji Tuhan. Dalam
sembahyanglah mereka bermanja-manja dengan Tuhan.

Sembahyang adalah satu hadiah yang paling besar dan berharga bagi para
sahabat. Satu perkara yang ditunggu-tunggu dan diidam-idamkan. Dengan
sembahyanglah dapat mereka meluahkan segala perasaan dan isi hati mereka
kepada Tuhan yang mereka tanggung selama ini. Sembahyang bagi mereka
adalah satu nikmat yang tidak terhingga nilainya. Sebab itu kita lihat,
sahabat yang paling malas pun, sembahyang mereka seratus rakaat sehari
semalam.

Para sahabat mencintai sembahyang kerana sebelum datang perintah
sembahyang pun, mereka sudah kenal, cinta, rindu dan takut dengan Tuhan.
Inilah yang tidak ada pada kita. Kita tidak kenal, jauh sekali cinta,
rindu dan takut dengan Tuhan. Sebab itulah sembahyang tidak menjadi buah
hati kita. Sebab itulah kita tidak terdorong untuk bersembahyang. Sebab
itulah sembahyang kita tidak manis dan kita tidak mendapat kepuasan
dalam sembahyang. Sembahyang bagi kita adalah sesuatu yang sangat payah
dan berat. Sangat meletih dan menjemukan. Bagi para sahabat, bertemu
Tuhan macam hendak bertemu kekasih. Tidak sabar-sabar ingin bertemu.
Bagi kita, bertemu Tuhan macam hendak bertemu orang yang kita tidak
kenal. Kalau tak jadi bertemu pun tak rasa rugi apa-apa.

Seperkara lagi mengapa kita merasa berat untuk bersembahyang ialah
kerana kita tidak tahu dan tidak faham sebab dan hikmah mengapa Tuhan
mewajibkan kita bersembahyang. Kita tahu, kalau semua manusia
bersembahyang pun, Tuhan tidak untung apa-apa. Kalau semua manusia tidak
mahu bersembahyang pun, Tuhan tidak rugi apa-apa. Tidak akan bertambah
atau berkurang kemuliaan Tuhan. Sifat Tuhan itu sudah sedia sempurna.
Tetapi kenapa Tuhan mewajibkan juga kita bersembahyang.

Kita diperintah bersembahyang kerana dengan sembahyanglah dapat kita
melahirkan rasa-rasa kehambaan di hati kita. Rasarasa kehambaan ialah
rasa hina, berdosa, bersalah dengan Tuhan, rasa kerdil, lemah, cemas,
gementar, takut, bimbang, rasa malu, rendah diri, berharap dan
sebagainya. Rasa-rasa kehambaan inilah yang dapat membantu kita menjadi
orang yang baik. Rasa-rasa kehambaan ini boleh memusnah dan membakar
sifat-sifat mazmumah atau sifat-sifat keji yang bersarang di hati kita
seperti sombong, hasad dengki, tamak, pemarah, bakhil, ujub, jahat
sangka, berdendam, memfitnah, mengumpat, adu domba, menghina dan
lain-lain lagi. Kalau rasa-rasa kehambaan tidak ada di dalam hati, maka
hati kita akan dipenuhi dengan sifat-sifat mazmumah seperti yang disebut
di atas.

Sifat-sifat mazmumah ini sangat merosakkan. Ia racun dalam kehidupan
manusia dan masyarakat. Apabila hati-hati manusia dipenuhi dengan
sifat-sifat mazmumah, manusia akan berkrisis, bergaduh, bertengkar,
jatuh-menjatuh, bunuh-membunuh dan berperangan sesama sendiri.

Sebenarnya yang bergaduh dan berkelahi di antara manusia itu bukan
manusia itu sendiri. Bukan lidahnya, bukan tangannya, bukan kakinya
tetapi sifat mazmumah yang bersarang di hatinya. Sifat sombong seseorang
itu berlawan dengan sifat dengki orang lain. Sifat panas baran seseorang
itu bertengkar dengan sifat keras hati orang lain. Sifat bakhil
seseorang itu berlawan dengan sifat tamak haloba orang lain dan
seterusnya. Sifat mazmumah yang bersarang di hati manusialah punca
manusia bergaduh. Lidah, tangan, kaki hanya mengikut sahaja.

Kalau hati-hati manusia dipenuhi dengan segala sifat mazmumah, maka
rosaklah kehidupan manusia. Binasalah dunia. Hilang kasih sayang. Roboh
perpaduan. Hilang kebahagiaan dan keharmonian. Terseksalah hidup
manusia. Sembahyanglah yang dapat membuatkan manusia menjadi baik ialah
sembahyang yang dapat melahirkan rasa-rasa kehambaan. Rasa-rasa
kehambaan inilah yang akan melenyapkan sifat-sifat mazmumah dari hati
kita. Kalau kita rasa hina, lemah dan kerdil di hadapan Tuhan, masakan
pada waktu yang sama kita akan merasa sombong dan angkuh dengan orang
lain. Kalau kita merasa bersalah dan berdosa dengan Tuhan, masakan kita
akan nampak salah dan dosa orang lain.

Rasa-rasa kehambaan ini secara otomatis akan melahirkan pula rasa-rasa
bertuhan. Iaitu rasa-rasa bahawa Tuhan itu Maha Hebat, Maha Agung, Maha
Perkasa, Maha Kaya dan sebagainya. Rasa-rasa bertuhan ini akan menyubur
dan menajamkan sifat-sifat mahmudah atau sifat-sifat terpuji di hati
kita. Akan tumbuh dan segarlah sifat-sifat pemurah, pemaaf,
tolong-menolong, bantu-membantu, bertolak-ansur, bertimbang-rasa,
berkasih
sayang, bertoleransi, mesra, lemah lembut, lapang dada, suka
mendahulukan orang lain dan sebagainya di hati kita.

Inilah di antara sebab mengapa Tuhan menyuruh kita bersembahyang. Supaya
manusia dapat hidup dengan aman, damai dan harmoni. Bila sifat-sifat
mazmumah bersarang di hati kita, kita akan berwatak dengan watak
syaitan. Tetapi bila sifat-sifat mahmudah menghiasi hati kita, maka
terbinalah insan kita. Kita akan berwatak dengan watak malaikat.

Hidup manusia di muka bumi akan menjadi tenang, aman dan damai dan penuh
dengan kasih sayang dan harmoni. Hidup di dunia akan menjadi begitu
indah dan bahagia. Itulah bayangan keindahan hidup di Syurga Jannatun
Naim, hasil dari kita mendirikan sembahyang.

7 Tanda Kebahagiaan Dunia

Tujuh petanda kebahagiaan dunia

Dari Ibnu Abbas ra, ada 7 petanda kebahagiaan dunia, iaitu :

1.Qalbun syakirun atau hati yang selalu bersyukur
2.Al azwaaju shalihah, iaitu pasangan hidup yang soleh
3.Al auladun abrar, iaitu anak yang soleh
4.Albiiatu sholihah, iaitu lingkungan yang kondusif untuk iman kita
5.Al maalul halal, atau harta yang halal
6.Tafakur fi dien, atau semangat untuk memahami agama
7.Umur yang barakah - ertinya umur yang semakin tua semakin soleh, yang setiap detiknya diisi dengan amal ibadah.

Firman Allah swt. yang bermaksud:
“Ya Tuhan kami berilah kami kebaikan di dunia dan akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka.”
(Surah Al Baqarah: Ayat 201)

Para ulama mentafsirkan kalimah hasanah dunia dan hasanah akhirat dengan pengertian berikut:

1.Kesihatan badan dan jiwa.
2.Ilmu yang bermanafaat.
3.Amalan yang soleh.
4.Keimanan yang teguh.
5.Ikhlas beramal dan mendapat keredaan Allah.
6.Disenangi umat manusia.
7.Hidup bahagia dengan rezeki dan harta.
8.Rumah tangga yang bahagia dan mendapat anak yang soleh.
9.Selamat dari seksaan kubur.
10.Dapat masuk syurga dengan segala kenikmatan yang abadi.

Saturday, May 28, 2011

Jangan Putus Asa..Yakinlah Dengan Allah...

Assalamualaikum.. 

Segala yang terpuji itu hanya milik Allah. Dan selawat serta salam kepada Rasulullah SAW, serta tidak dilupakan juga selawat dan salam untuk semua para nabi dan rasul sebelum beliau. 

Alhamdulillah. Sejak kebelakangan ini, ramai insan yang mula merespon terhadap post Aku Mahu Berubah, Tapi.. baik secara personal atau tidak. Menyatakan masalah mereka dalam mahu melakukan perubahan, cabaran dan sebagainya. Baguslah tu. Kerana dalam suasana masyarakat yang semakin membarah sekarang ni dengan ideologi-ideologi songsang, ditambah lagi dengan perisa perang pemikiran yang melampau-lampau. Masih ada jiwa-jiwa yang mahu keluar dari kepompong zon selesa mereka. Untuk kembali kepada fitrah kejadian mereka. Iaitu tunduk kepada kehendak Allah. Iaitu Islam. 
+++ 

Jika sebelum ini saya membahaskan mengenai masalah ‘Determination’ atau keikhlasan dan ‘Effort’ atau usaha. Sekarang saya akan sambung dengan dua poin yang seharusnya menjadi driving force yang seterusnya untuk kita terus tetap dan teguh, atau secara umumnya kita panggil istiqomah dalam mahu melakukan perubahan. 

Setelah wujudnya azam dan tekad yang kuat, iaitu niat. Sebab kita mahu berubah ini kerana kita tahu ini ialah jalan yang harus kita pilih, kerana kita hamba-Nya. Bukan kerana keuntungan material dan nama serta makhluk. Maka usaha yang bersungguh-sungguh menjadi batu asas seterusnya dalam melakukan perubahan. Usaha yang bersungguh-sungguh itulah yang menjadi realisasi atau pembuktian tentang apa yang kita katakan tadi. 

“Aku mahu berubah!” 

Kerana apa? 

Kerana dalam nak makan nasi sahaja perlukan usaha. Bangun dari katil, buka pintu, berjalan ke café, cedok nasi, angkat tangan nak mengisi nasi ke mulut, menguyah dan seterusnya. Inikan pula dalam nak berubah dari satu kondisi kepada satu kondisi yang lain. Dan kondisi yang ingin dituju ini pula bukanlah satu jalan yang akan dihiasi dengan karpet merah serta bunga-bungaan. Tetapi duri, darah dan tengkorak! 

“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.”  
[QS al-‘Ankabut, 29:2-3] 

Maknanya, jelas apabila kita mengatakan kita mahu berubah menjadi lebih baik, atau dengan kata lainnya, mahu menjadi beriman. Maka Allah pasti akan memberikan kita ujian untuk menguji kita. Adakah kita benar-benar mahu mengkotakan hasrat yang berbuku di hati, atau ianya hanya sekadar kata. 

“Apakah kamu mengira kamu akan masuk syurga, padahal belum nyata bagi Allah orang-orang yang berjihad di antara kamu, dan belum nyata orang-orang yang sabar.’  
[QS Ali ‘Imran, 3:142] 

Dalam konteks sekarang ni, cukup kalau kita lihat jihad kita dalam melawan hawa nafsu. Berapa ramai orang yang kononnya melaungkan dan menjerit slogan, “Aku mahu berubah!”, tapi apabila datangnya ujian yang bernama games, habis terlentok. Datang sahaja ujian yang namanya pornografi, habis terkulai. Inna lillahi wa inna ilaihi roji’un. 

Lemahnya kita… 

Itu baru dihantar games, internet, bola dan makanan. Belum senapang, bom dan jet pejuang. 

Maka ingatlah wahai yang sedang membaca, ujian itu datangnya dari Allah, diberikan kepada kita agar kita kembali kepada Dia semula. Kalau kita lihat balik dalam surah Ali ‘Imran itu tadi, tujuan ujian yang diberikan kepada mereka yang mahu menjadi beriman ini adalah agar Allah dapat melihat, dan kita juga dapat melihat siapa yang benar dengan kata-katanya, dan siapa yang bersabar dalam menuju apa yang ia inginkan. 

Memang payah. Sebab kita sekarang nak menuju ke arah yang berlawanan dengan arus kehidupan. 

Di saat kawan-kawan kita mengatakan couple itu biasa, kita malah menjauhkan diri daripada dia. 

Di saat kawan-kawan kita mengatakan lepak buang masa itu normal, malah kita tidak melakukan itu semua. 

Inilah realiti zaman kita sekarang. 

+++ 

Cuba kita lihat dalam sirah, hanya keran keinginan untuk berubah sahaja, matinya Sumayyah bersama suaminya di atas padang pasir. Diseksanya Bilal bin Rabah dengan diltelakkan batu besar di atas dadanya di tengah terik matahari! Lagi, cuba teliti kisah ini, 

+++ 

Dengan demikian ia dapat melihat dengan jelas tawanan Quraisy yang terikat dengan tali, suara gemuruh perempuan, anak-anak dan remaja senantiasa mendorong tawanan itu menuju arena kematian, karena kaum Quraisy ingin membalas Muhammad atas kematian orang-orangnya ketika perang Badar dengan cara membunuhnya. 

Ketika rombongan yang garang ini dengan tawanannya, sampai di tempat yang telah disediakan, anak muda Sa’id bin Amir Al-Jumahi berdiri tegak memandangi Khubaib yang sedang diarak menuju kayu penyaliban, dan ia mendengar suaranya yang teguh dan tenang di antara teriakan wanita-wanita dan anak-anak, Khubaib berkata, 

“Izinkan saya untuk shalat dua raka’at sebelum pembunuhanku ini jika kalian berkenan.” 

Kemudian ia memandanginya, sedangkan Khubaib menghadap kiblat dan shalat dua raka’at, alangkah bagusnya dan indahnya shalatnya itu. 

Kemudian ia melihat, Khubaib seandainya menghadap pembesar-pembesar kaum dan berkata, 

“Demi Allah! Jika kalian tidak menyangka bahwa saya memperpanjang shalat karena takut mati, tentu saya telah memperbanyak shalat.” 

Kemudian ia melihat kaumnya dengan mata kepalanya, mereka memotong-motong Khubaib dalam keadaan hidup, mereka memotongnya sepotong demi sepotong, sambil berkata, 

“Apakah kamu ingin kalau Muhammad menjadi penggantimu dan kamu selamat?” 

Maka ia menjawab - sementara darah mengucur dari badannya, 

Demi Allah! Saya tidak suka bersenang-senang dan berkumpul bersama istri dan anak sedangkan Muhammad tertusuk duri” 

Maka orang-orang melambaikan tangannya ke atas, dan teriakan mereka semakin keras,

“Bunuh!-bunuh…!” 

Kemudian Sa’id bin Amir melihat Khubaib mengarahkan pandangannya ke langit dari atas kayu salib, dan berkata, 

“Ya Allah ya Tuhan kami! Hitunglah mereka dan bunuhlah mereka satu persatu serta janganlah Engkau tinggalkan satupun dari mereka” 

Kemudian ia menghembuskan nafas terakhirnya, dan di badannya tidak terhitung lagi bekas tebasan pedang dan tusukan tombak. 

+++ 

Sampai ke tahap ini mereka diuji. Tapi pernah tak mereka mengatakan, 

“Ah, sudah lah. Bosan dengan semua ni. Baik aku jadi jahat balik. Senang!” 

Tidak wahai saudaraku… 

Mereka bahkan sanggup mati hanya kerana mahu berubah, dan kekal dalam perubahan. 

Kalau kita macam mana? Sejauh dan sebesar mana ujian yang datang pada kita jika mahu dibandingkan dengan mereka? 

Ataukah kamu mengira kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cubaan) seperti (yang dialami) orang-orang terdahulu sebelum kamu. Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan diguncang (dengan pelbagai cubaan), sehingga rasul dan orang-orang beriman bersamanya berkata, “Bilakah datang pertolongan Allah?”. Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat.”  

[QS al-Baqarah, 2:214] 
+++

Selepas ikhlaskan niat kita, lepas itu berusaha bersungguh-sungguh, dan jangan putus asa dengan ujian dan dugaan, maka yang terakhir saya mahu sampaikan ialah keyakinan. 


Keyakinan kita terhadap diri kita sendiri, dan keyakinan kita terhadap Allah. 

“You are what you think.” 

Kalau kita fikir yang kita ini serba cukup, tidak memerlukan siapa-siapa, maka kita memang selayaknya hidup sendirian. 

Tapi jika kita merasakan diri kita lemah, dan hanya mampu kuat apabila adanya pertolongan dari Allah. Maka pasti, Allah akan sentiasa bersama kita. 

Allah SWT akan bertindak sesuai dengan usaha kita. 

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu”  
[QS Muhammad, 47:7] 

Dan, 

“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”  
[QS Ali ‘Imran, 3:139] 

Yakinlah dengan Allah. Bahawa dia akan membantu kita, jika kita mahu mahu membantu diri kita sendiri. 

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana, maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya.  
[QS Ar-Ra'd, 13:11] 

+++ 

Cukuplah. Mulakanlah perubahan dari dalam diri anda, kemudian di persekitaran anda. 

Tiada istilah tidak mampu, dalam hendak berubah. Tiada istilah tidak kuat, dalam hendak berubah. Tiada istilah belum sampai seru, dalam hendak berubah. Tiada istilah tidak cukup ilmu, dalam hendak berubah. 

Yang ada cuma, 

MAHU atau TIDAK MAHU. 

Kalau tidak mahu, maka kekal lah kamu duduk dalam keadaan yang indah dari mata pandangan nafsu di dunia ini, tetapi insya-Allah tidak di akhirat. 


Kalau mahu, maka berhijrahlah kamu tanpa pernah cuba memberikan alasan, tetapi berusaha dalam mencari "jalan". Berhijrah ke mana? Bukan nak suruh ke Madinah atau Habsyah, tetapi kepada Allah SWT. Cukup. 

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk (mencari keredhaan) Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami, Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.”  

[QS Al-Ankabut, 29:69] 

Maka, ikhlaskan niat, usaha sungguh-sungguh, jangan putus asa, dan yakin dengan pertolongan Allah. 

Determination, effort, never give up, and believe...

Wa Allahu ‘alam 

Thursday, April 28, 2011

Renungan...


WANITA IBARAT RAMA2..YANG INDAH DAN MEMPESONA..MERUPAKAN MAKHLUK YANG LEMAH..PERLU BERHATI2 DALAM SENTUHAN..JIKA TIADA HATI2 MAKA ROSAKLAH SAYAPNYA...BINASALAH IA.. WAHAI PUTERI AGAMA..PELIHARALAH DIRIMU DENGAN AKHLAK YANG MULIA KERANA PADANYA ADA KEKUATAN SEHINGGA TAK MAMPU IA DIROSAKKAN MALAH DIHORMATI DAN DISANJUNGI... BUAT PUTERA AGAMA..SABARLAH DALAM DALAM MENDIDIK KERANA TULANG YANG BENGKOK IBARAT SAYAP YANG RAPUH..SEMOGA KITA DALAM RAHMAT KASIH SAYANG ALLAH TAALA...AMIN...

Sunday, April 24, 2011

10 Penyakit Keturunan Paling Menakutkan Di Dunia


Berikut di Paparkan 10 Penyakit Keturunan Paling Menakutkan di Dunia.

10 - Botak. 
Common dikalangan lelaki. Botak disebabkan oleh kerosakkan pada kod genetik kedua-dua ibubapa.
9 - Lactose Intolerance. 
Tidak boleh minum susu.

8 - Jerawat
Kebanyakan remaja yang tumbuh jerawat dikaitkan dengan ibubapa mereka yang pernah mengalami masalah yang sama. Atau masalah kulit yang lain.

7 - Mempunyai Kembar. 
Penyelidik Amerika mengatakan ibu mempunyai kod genetik yang mana membuatkan mereka menghasilkan telur dengan banyak (mereka yang belajar biology mungkin lebih arif perkara ni). Oleh itu, mereka berkemungkinan akan melahirkan anak kembar setiap kali mengandung (berbahaya dari segi social anak-anak bila dah besar, kewangan, keperluan asas mereka,etc..etc..)
 
6 - Penyakit Jantung. 
Risiko mendapat penyakit jantung lebih tinggi jika ada ahli keluarga yang mempunyai sejarah penyakit jantung, seperti darah tinggi.
 
5 - Obesity. 
Obesity dikaitkan dengan kod genetik yang diwariskan daripada nenek moyang kita dahulu. Ia lebih kepada makan berlebihan kalau diikutkan statistik.
 
4 - Buli. 
Genetik yang membuatkan seseorang itu ganas dikatakan diwarisi daripada ibubapa. Atau keturunan sebelumnya. Tetapi penyelidik menyatakan role genetik tersebut lebih mudah diwarisi oleh golongan wanita.
 
3 - Buta Warna. 
10 juta orang di US sahaja tidak boleh membezakan warna merah daripada hijau. Buta warna lebih common dikalangan lelaki.
 
2 - Kanser Payudara. 
Penyakit misteri kerana masih tidak diketahui puncanya. Lebih kepada wanita. tapi lelaki juga mempunyai risiko mendapat kanser tersebut.
 
1 - Alcoholism. 
50% kanak-kanak berisiko mendapat tabiat minum arak. Ingat lagi budak lelaki Indonesia yang masih hingusan merokok? Dia juga dikatakan minum arak. Syukur ia tidak terjadi Malaysia. Tapi dinegara-negara yang menjual arak secara terbuka mengalami masalah ini.

Friday, April 1, 2011

Dakwah Dan Tarbiah..


Dakwah dan Tarbiyah
Bismillah.

Indah sungguh segala ciptaan,
Mewarnai alam di sekeliling kita,
Wajib kita merasai bertuhan,
Allah swt Yang Maha Esa.

Ukhti yang disayangi

Dakwah dan tarbiyah in tidak pernah mengajar kita untuk..
GAGAL dalam akademik.

Dakwah dan tarbiyah tidak pernah mengajar kita untuk kerap..
Tidak hadir ke kelas.

Dakwah dan tarbiya tidak pernah mengajar kita untuk lambat..
Hantar assignment.

dakwah dan tarbiya tidak pernah mangajar kita untuk banyak..
Alasan dan banyak bermalasan.

dakwah dan tarbiyah tidak pernah mengajar kita untuk menjadi..
Anak yang derhaka.

Bahkan ukhti..
Dakwah dan tarbiyah inilah yang banyak menggali..
Potensi kita..menjadi biasa kepada yang sangat luar biasa.

Dakwah dan tarbiyah inilah yang menjadikan kita..
Orang yang terurus urusannya.

dakwah dan tarbiyah yang menjadikan kita...
Muslim, soleh yang berdaya guna.

InsyaAllah teruskan perjuangan dalam mengharungi jalan berliku demi bertemu cinta yang SATU.

Duduk menulis di dalam surau,
Sambil menanti sahabat setia,
Dalam bersahabat bergembira dan bergurau,
Nasihat menasihatilah dan saling menjaga.